Lambaian Kuala Mu
April 16th, 2008 by ibnumustaffaDua minggu yang lepas saya sempat mengikuti rombongan dakwah bersama
Ummah Aid dan Muhammadiyyah International ke perkampungan orang asli di
Kuala Mu, Sg Siput Perak. Rasanya pengalaman ekspedisi tersebut sesuatu
yang baru dalam hidup saya.
Saya bersama Zaidi dan Zafar
bergerak ke Sungai Siput menaiki “kancil”. Manakala rombongan daripada
Pulau Pinang seperti yang dikhabarkan oleh Zaidi, bergerak daripada
USM. Di pertengahan jalan, side mirror ‘kancil” tercabut. Tersenyum
saya bersama Zaidi. Zafar di belakang sudah nyenyak melayan nikmat
tidur.
Sebaik sampai di Tol Grik, kami menanti kehadiran
rombongan daripada Pulau Pinang. Sementara menanti, saya sempat
mengilang tahi mata sebentar. Zack dan Zafar sibuk usik mengusik di
tepi jalan.Setiba sahaja rombongan dari Pulau Mutiara tiba, kami
bergerak menuju ke rumah Cikgu Bob. Kata Zaidi, Cikgu Bob merupakan
pakar dalam mengendalikan kenderaan pacuan 4 roda.Pada mulanya saya
ingatkan ianya suatu yang biasa sahaja, namun selepas menaiki Land
Rover, saya mula merasai cabaran. Apakan tidak, Land Rover yang saya
naiki tiada cermin hadapan. Pecah ketika ekspedisi yang lalu ketika
Land Rover tersebut bergolek dari puncak bukit ke bawah. Seperti yang
diberitahu oleh Zaidi, Land Rover tersebut diberikan oleh pihak
Kementerian Kesihatan kepada Ustaz Wahab. Walaupun kelihatan agak uzur,
namun sudah banyak jasa yang ditaburkan. Boleh dikatakan Land Rover ini
tidak pernah ketinggalan dalam mengikuti ekspedisi dakwah ke Kuala Mu.
Kami
merentas lautan kegelapan malam, membelah hutan belantara seawal jam 3
pagi. Kabus malam yang sejuk menusuk ke tulang hitam. Angin menghembus
laju dari hadapan disebabkan tiada cermin penghadang untuk menghalang.
Sahabat saya Zafar berpeluk tubuh kesejukkan. Bagi saya itu adalah
suatu yang biasa. Kehidupan saya dikampung juga sedemikian rupa. Bahkan
program-program yang pernah diikuti sebelum ini lagi mencabar
kesejukkannya. Berendam di dalam sungai ditengah malam. Suatu yan
g
indah dan manis! Land Rover yang saya naiki membontoti Land Rover biru
yang diberi nama “Yala”. Diikuti Pajero Cikgu Hasyim dan Trooper Unit
Amal Pulau Pinang yang kesemuanya saya belum kenali. Di awal perjalanan
saya hanya senyap dan memerhati gelagat adik-adik dan abang-abang di
dalam Land Rover tua ini. Mereka bersembang sambil bergelak ketawa
bercerita tragedi dan kenangan ekspedisi yang lalu. Zafar tidur,
manakala Zaidi ditugaskan memandu Yala. Saya hanya berdiam diri.
Setiba
di tengah hutan, kelihatan permandangan begitu cantik. Subhanallah,
sungguh indah ciptaan Allah. Tidak pernah saya melihat gugusan bintang
begitu banyak tergantung dilangit. Keindahan tersebut tidak dapat saya
gambarkan. Inilah kehebatan ciptaan Allah yang maha agung, tidak dapat
saya ungkapkan dengan kata-kata.
Kira-kira jam 5 pagi, kami tiba
di tempat persinggahan. Ada yang mengambil peluang untuk melelapkan
mata. Ustaz Wahab orang yang paling awal berwuduk dan menunaikan Solat
Sunat. Saya kemudiannya mengikuti bersama sahabat-sahabat yang lain.
Selepas solat Subuh, kami dihidangkan dengan santapan rohani oleh
Zulzaidi. Kemudian, Ustaz Wahab memberi sedikit inzar kepada kami.
Beliau mengingatkan, untuk menjadi seorang pendakwah kita mestilah
berjiwa besar. Mesti bersemangat waja. Namun saya tidak sempat
menangkap 3 sifat pendakwah yang disebut oleh Ust Wahab.
Saya
mengenali Ustaz Wahab daripada Zaidi. Mungkin saya ibaratkan Ustaz
Wahab seperti Land Rover ini. Walaupun sudah lanjut usia, tetapi masih
“degil” untuk berdakwah ke Kuala Mu yang begitu mencabar. Beliau
bergiat aktif dalam aktiviti dakwah sejak usia muda lagi. Tidak silap
saya beliau sudah berpengalaman selama 16 tahun berdakwah orang asli di
Negara Thailand, Vietnam dan beberapa buah Negara Asean yang lain.
Manakala di Malaysia sekitar 3 atau 4 tahun beliau mula melibatkan diri
secara serius semata-mata mahu melihat kalimah Allah diucapkan oleh
masyarakat orang asli. Tidak ramai pendakwah yang tegar seperti beliau.
Usai
solat subuh, kami meneruskan ekspedisi. Melihat pemandangan awal pagi
membuatkan hati saya terhibur. Sungguh nyaman. Saya cuba mengambil
peluang melelapkan mata, namun tidak Berjaya disebabkan Land Rover yang
bergoyang kuat. Setiap kali berjaya melepasi dakian bukit, kami
bertakbir beramai-ramai. Cuak juga rasanya ketika “Putih” (saya namakan
Land Rover kesihatan sebagai putih untuk memudahkan penulisan)
mengerang mendaki putih.
Ketika mendaki bukit seterusnya, enjin
Putih tiba-tiba mati. Kecut perut. Kelihatan Zafar pucat. Putih seperti
mahu mengelungsur ke belakang. Abang Wan cuba menenangkan kami. Saya
mengambil kesempatan keluar melalui pintu dihadapan untuk membantu
Abang Wan dan Abang Shah meletakkan kayu di belakang tayar Putih. Hanya
tinggal Salman didalam untuk mengemudi Putih. Suasana pada ketika itu
agak cemas. Mungkin disebabkan kali pertama merasai pengalaman
sedemikian rupa. Alhamdulillah, enjin berjaya dihidupkan dan Putih
bergerak megah memanjat bukit. Saya bersama beberapa orang yang lain
berjalan kaki membontoti Putih dari belakang.
Setengah jam
kemudian, kami bertemu pula dengan halangan pokok tumbang merentangi
jalan. Masing-masing berusaha untuk mengalihkan pokok tersebut bagi
membolehkan kami sampai di Kampung Kuala Mu. Dengan kerjasama daripada
semua, halangan tersebut kami berjaya lepasi.
Setiba di Kuala Mu,
saya membantu untuk menyiapkan masakan. Kehadiran kami disini cukup
bermakna bagi penduduk kampung, kerana mereka berpeluang untuk
menikmati “cak raya” ataupun makan besar. Di sini mereka boleh menjamah
nasi.
Makanan ruji penduduk disini adalah ubi kayu disebabkan
mereka tidak berkemampuan membeli beras. Saya termenung sendirian.
Terfikir dikepala, masih ada masyarakat Malaysia yang tidak menjamah
nasi disebabkan susah. Namun begitu, saya melihat kehidupan mereka
bahagia. Jauh daripada kesibukan kota. Di tepi kampung, mengalir air
sungai yang cantik. Sungguh indah permandangan di Kampung tersebut.
Usai sahaja masak, kami mengagihkan makanan kepada seluruh penduduk
kampung. Selepas itu saya sempat menikmati kesegaran air sungai Kuala
Mu. Begitu sejuk dan nyaman.
Sebelum meneruskan perjalanan ke
Kampung Bersoak, kami sempat menunaikan solat bersama penduduk kampung.
Kanak-kanak diajar untuk melafazkan kalimah dua syahadah. Saya dapat
membayangkan kemiskinan pada wajah-wajah anak kecil yang bersama dengan
kami. Apabila dihulurkan gula-gula, masing-masing berebut-rebut untuk
mendapatkannya. “ Alangkah bertuahnya kehidupan aku sewaktu kecil,
walaupun aku susah tetapi mereka lebih susah dari aku” getus hati kecil
saya dikala itu.
Selepas itu kami bertolak ke Kampung Beswok.
Hujan mulai lebat. Putih mengulangi sekali lagi peristiwa mati di atas
bukit. Sekali lagi kami terpaksa turun untuk menyelamatkan Putih.
Masing-masing lencun akibat hujan yang tidak henti-henti turun.
Perjalanan
kami selepas itu agak sukar. Hujan yang lebat menyebabkan laluan
menjadi licin dan becak. Kami terpaksa berhenti beberapa kali
disebabkan ada dikalangan kenderaan rombongan ini yang tersangkut.
Namun begitu, akhirnya kami berjaya sampai di Kampung Kutei lebih
kkurang jam 8 malam. Kami terpaksa menangguhkan hasrat untuk ke kampung
Bersoak memandangkan laluan untuk ke sana mengalami sedikit masalah.
Ustaz Wahab berkeras untuk bergerak juga ke Kg Bersoak memandangkan
inilah kali pertama ekspedisi ini akan pergi ke sana. Masing-masing
kelihatan resah dengan kemahuan Ustaz Wahab. Jiwa beliau kental, tidak
seperti yang lain yang saya kira agak lembut tetapi tidaklah bermaksud
mudah putus asa.
Kami mengambil keputusan untuk bermalam dan
membuat “cak raya” kedua di kampung Kutei. Sekali lagi saya menjadi
pembantu untuk masakan. Jika dirumah sewa, kawan-kawan menggelarkan
saya sebagai ‘Bapak Kari’, kerana saya sering menyediakan juadah yang
berbentuk kari. Di kampung Kutei juga saya sekali lagi menjadi ‘Bapa
Kari’. Sebelum ini di Kuala Mu, saya sekadar menyediakan rending telur
dan kubis goreng. Di Kg Kutei, sambutannya kurang meriah berbanding
Kuala Mu. Namun begitu, juadah yang disediakn tetap habis diagihkan.
Kami
mula bergerak menuju ke Kg Beswok kira-kira jam 9 pagi. Kami berjaya
melepasi halangan titi tersebut dan sampai dengan selamat disana.
Penduduk di sini kebanyakkan mengamalkan agama Bahai. Ajaran sesat yang
menyeleweng dari Islam yang sebenar. Kami sempat berdialog dengan Ketua
Kampung disitu, Tok Penghulu Muhamad B Daud. Tetapi beliau bukanlah
beragama Islam. Beliu menyalahkan sikap orang Islam yang hanya mahu
berdakwah, namun tidak mahu melakukan follow up. Pelbagai luahan yang
beliau sampaikan kepada Ustaz Wahab dan kami semua.
Kira-kira
jam 1 tengah hari kami berangkat pulang. Kami singgah di Kg Kutei untuk
mengambil anak Tok Penghulu yang mahu menumpang kami untuk ke sekolah.
Perjalanan ke sekolah agak jauh dan sukar. Kami menunaikan solat ketika
berhenti disebuah kampung berhampiran pinggir hutan. Di situlah majlis
wida dilakukan dan masing-masing meluahkan rasa hati mereka mengikuti
ekspedisi pada kali ini. Saya sendiri merasakan ekspedisi ini cukup
bermakna buat diri saya. Insya Allah, dimasa akan datang saya akan cuba
mengajak sahabat-sahabat untuk sama-sama merasai pengalaman yang cukup
bernilai ini.
Kemudian saya bertolak balik ke Kuala Lumpur
bersama Zaidi, Zafar dan Abg Anuar. Walaupun kunci kereta hilang,
tetapi dapat juga dihidupakan dengan bantuan Abang-abang unit amal.
Terima kasih saya ucapkan. Kepada Kuala Mu, insya Allah saya akan
sampai lagi dilain kali.
Kepada sahabat-sahabat yang ingin mengikuti aktiviti ini saya cadangkan kepada kalian untuk melawat blog rasmi ummah aid, www.ummahaid.blogspot.com .
Oleh:
Mohd Faisal B Mustaffa

